Khamis, Ogos 16, 2012

LAPORAN PROGRAM TADARUS, SOLAT TASBIH DAN KHATAM MUSLIMAT MASJID AS SALAM PUCHONG PERDANA.



Nazir Masjid As-Salam memberi ucapan dan motivasi

12 Ogos 2012 bersamaan Ahad yang lalu,telah berlangsungnya program ke-3 Biro Hal Ehwal Wanita Masjid As-Salam bagi sesi 2012-2015 iaitu Solat Tasbih dan Khatam Muslimat Perdana Masjid As-Salam Puchong Perdana. Program yang bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 tengahari telah dihadiri oleh hampir 200 orang muslimat. Program ini merupakan kemuncak program sepanjang Ramadhan 2012/1433 di peringkat Biro Hal Ehwal Wanita.

Program pertama yang telah dijalankan adalah Pelancaran Program Tadarus pada 14 Julai. Program seterusnya adalah Tadarus Al-Quran Muslimat Masjid As-Salam yang dijalankan selama 2 kali iatu pada 27 Julai dan 5 Ogos di masjid. Tadarus pada tahun ini, disertai oleh 75 orang muslimat terdiri daripada AJK BHEW, pelajar-pelajar kelas pengajian BHEW dan juga AJK BHEW surau-surau.
Peserta Tadarus Muslimah yang mengambil bahagian.

Penyertaan julung kalinya daripada Surau Ra’ayah Puchong Permai, Surau An-Najatul Hasanah Puchong Permai, Surau Ehsan Puchong Perdana, Surau Mawaddah, Surau An-Nur Puchong Intan adalah sangat menggalakkan dan dihargai. Kehadiran muslimat untuk sama-sama mengimarahkan masjid terutama di bulan Ramadhan ini, membuahkan ukhwwah Islamiyah dikalangan AJK BHEW dan kariah muslimat. Dan penutup program Ramadhan tahun ini adalah Solat Tasbih dan Khatam Muslimat Perdana Masjid As Salam.

Kumpulan Tadarus Muslimah Masjid As-Salam


Sebagai pembukaan program, solat sunat dhuha dan tasbih telah dilaksanakan secara berjemaah dengan dipimpin oleh Ustazah Junaidah. Solat sunat dhuha dan sunat tasbih ini merupakan diantara pengisian program Ramadhan yang telah menjadi rutin tahunan bagi Biro Muslimah Masjid As Salam. Alhamdulillah, muslimat di dalam kariah Masjid As Salam masih menjadikan masjid ini diantara pilihan untuk melakukan ibadah-ibadah sunat ini yang mana, ianya juga turut dilaksanakan diperingkat Biro Hal Ehwal Wanita masjid-masjid lain.





Kemuncak program setengah hari tersebut adalah khatam Al-Quran. Pada tahun ini, BHEW membuat perubahan dari kebiasaan dengan memanfaatkan ruang lobi bawah masjid sebagai ruang program. Dengan suasana pemandangan tasik yang santai beserta kedamaian tiupan angin sepoi bahasa, majlis khatam ini bukan sahaja dihadiri oleh 75 orang peserta tadarus malah muslimat yang sama-sama solat dhuha dan tasbih berjemaah, turut menyertai.



Kehadiran Nazir Masjid As Salam Tn. Hj. Yasim Mohamed dialu-alukan untuk memberi ucapan aluan seterusnya melontarkan sedikit motivasi ramadhan buat santapan rohani. Pastinya ucapan dan motivasi yang bersemangat ini,dapat dijadikan sedikit suntikan kesedaran kepada kita semua agar melalui penghujung ramadhan dengan jayanya.



Majlis diteruskan dengan tazkirah ramadhan yang disampaikan oleh Ustazah Junaidah. Antara intipati tazkirah beliau ialah memperingatkan kita semua agar merasai kesedihan untuk berhadapan dengan ramadhan yang bakal berlalu. Kesedihan itu bukanlah dibuat-buat malah perlu dengan kefahaman dan bersungguh-sungguh merasai dan mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang dikurniakan dalam bulan Ramadhan. Beliau juga memperingatkan kita agar bacaan Al-Quran bukan sahaja sekadar membaca malah berusaha untuk menjadikan Al-Quran sebagai pimpinan kehidupan.


Tazkirah dan alunan zikir munajat
Kemuncak program ini adalah khatam beramai-ramai. Seterusnya, menyampaikan cenderahati kepada peserta tadarus dan juga kepada muslimat yang hadir ke program ini. Biro Hal Ehwal Wanita mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada semua muslimat yang menjadi peserta tadarus, dan umumnya kepada muslimat yang hadir menjayakan program ini. Diharapkan agar dengan keizinan Allah, program seumpama ini bukan sahaja dilaksanakan dalam bulan Ramadhan malah menjadi pengisian dan amalan dalam bulan-bulan seterusnya.


Disempatan ini, Biro Hal Ehwal Wanita memohon ampun dan maaf dan mengucapkan selamat meraikan hari lebaran yang bakal tiba, Salam Eidul-fitri. Bersama-sama kita memohon kepada Allah agar kita semua mencapai kemenangan dalam ertikata yang sebenar dan mengharapkan agar usia dilanjutkan untuk bertemu Ramadhan yang indah di tahun hadapan.


Disediakan oleh:
Biro Hal Ehwal Wanita MAPP 2012-2015

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories