Isnin, Julai 16, 2012

Laporan: Majlis Pelancaran Program Tadarus Al-Quran Muslimat dan Kuliah di ambang Ramadhan "Bersediakah kita?"

Kuliah diambang Ramadhan telah disampaikan oleh Ustazah Norazian

Abu Hurairah telah berkata: 
Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik, AhmaddanBaihaqi)
Keagungan dan keberkatan yang menghiasai bulan Ramadhan, maka kehadirannya amat dinantikan oleh setiap Muslim. Kehadiran Ramadhan mengundang 1001 peluang bagi orang yang beriman untuk beramal ibadat, bertafakur dan muhasabah diri. Sehubungan dengan itu jugalah maka Biro Hal Ehwal Wanita Masjid As Salam ingin bersama-sama dengan muslimat disekitarnya untuk merebut salah satu peluang iaitu bertadarus. Dengan itu, program ini disasarkan objektifnya untuk membentuk kumpulan tadarus muslimat disamping mendapat peringatan dan pesanan sebagai persiapan menghadapi Ramadhan dalam slot kuliah.


14 Julai 2012  bersamaan Sabtu yang lalu, telah berlangsungnya program ke-2 Biro Hal Ehwal Wanita Masjid As-Salam bagi sesi 2012-2015 iaitu Pelancaran Tadarus Muslimat dan Kuliah Diambang Ramadhan. Program yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 11.00 pagi telah dihadiri oleh 54 orang muslimat.
Sebagai pembukaan program, solat jemaah dhuha dan taubat telah dilaksanakan secara berjemaah, diikuti dengan taklimat program tadarus muslimat peringkat Masjid As-Salam yang disampaikan oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita Pn. Hjh. Noor Akmar bt. Re. Tadarus pada tahun ini agak berbeza sedikit dari tahun-tahun sebelumnya. Muslimat kariah Masjid As Salam dijemput bersama-sama untuk bertadarus di masjid pada 29 Julai (9 Ramadhan) dan 5 Ogos (16 Ramadhan) iaitu setiap hari Ahad  jam 8.30 pagi.
Untuk melaksanakan tadarus ini, sebanyak 15 kumpulan akan dibentuk yang mana 1 kumpulan terdiri daripada 5 orang muslimat. Sehingga setakat ini 12 kumpulan telah berjaya didaftarkan dan masih berbaki 3 kumpulan. Dengan ini, Biro Hal Ehwal Wanita mengalu-alukan penyertaan dari puan-puan untuk memenuhi dan bersama-sama dalam program ini. Untuk pendaftaran dan penyertaan, sila hubungi  Pn. Nor Zarina Bt Mohd Azhar di talian 012-2454 470.
Kemuncak bagi program ini adalah penyampaian kuliah oleh Ustazah Norazian Mohd Akil. Ustazah Norazian Mohd Akil adalah penyampai dakwah yang tidak asing bagi muslimat Masjid As-Salam. Beliau juga merupakan Naqibah tetap bagi program Usrah Muslimat pada setiap hari Ahad jam 9 pagi minggu ke-3.

Penyampaian beliau yang bersahaja namun menyentuh permasalahan-permasalahan kefahaman Islam pada hari ini khususnya kepada muslimat amat berguna dan sangat penting untuk kita semua jadikan panduan.  Diantara pesanan beliau dalam kuliah tersebut adalah mengajak muslimat sekelian muhasabah diri dalam menyediakan diri menghadapi Ramadhan.

Ramadhan yang juga dikatakan sebagai bulan tarbiyah, adalah sangat bermakna kepada kita untuk mengutip semua ruang yang Allah sediakan pahala berlipat kali ganda. Tidaklah hanya wanita itu fokusnya hanya menyediakan juadah, bahkan hubungan dengan Allah juga harus dipertingkatkan.
Muslimat mendengar kuliah daripada Ustazah Norazian

Sebagai perkongsian dan muhasabah bersama, Biro hal Ehwal Wanita telah membekalkan Jadual Muhasabah Cinta Ramadhan kepada muslimat yang hadir. Jadual tersebut boleh dijadikan sebagai panduan dan peringatan untuk kita sama-sama mempertingkat dan memperbanyakkan amalan-amalan mahmudah di bulan penuh keberkatan ini.



Sempena dengan Ramadhan Al-Mubarak yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, Biro Hal Ehwal Wanita  Masjid As Salam mengajak semua muslimat bersama-sama mengambil peluang dan kesempatan usia yang Allah kurniakan ini untuk menghayati kehadiran Ramadhan dengan penuh keinsafan dan ketaqwaan.  Dengan kehadiran bulan yang mulia ini juga diharapkan ianya dapat menyatukan silaturrahim sesama Islam dan mengeratkan ukhwwah kerana Allah.
Biro Hal Ehwal Wanita mengucapkan kepada seluruh kariah masjid As Salam dan khususnya kepada muslimat Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1433H.

Disediakan oleh:
Biro Hal Ehwal Wanita MAPP 2012-2015



Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories