Ahad, Julai 25, 2010

Kata-kata aluan Nazir As-Salam sempena Mesyuarat Agong Tahunan Kali 01 Sesi 2009 ~ 2012 Masjid As-Salam Puchong Perdana

Segala puji-pujian dipersembahkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kerana diberi peluang, ruang dan kesempatan untuk saya menukilkan sepatah dua kata di dalam buku laporan Mesyuarat Agung Tahunan Kali 1 (2009 ~ 2010) Masjid As-Salam Puchong Perdana.
Institusi masjid adalah pengkalan utama kepada pembinaan peradaban dan pembangunan insan disepanjang zaman. Ternyata dalam konteks sejarah, institusi masjid merupakan sebuah institusi yang berkedudukan terpenting dan berperanan besar dalam aspek pendidikan dan pembangunan tamaddun hidup umat sejagat.

Sejak dari zaman Rasulullah saw yang telah membina masjid Quba’ dan dilengkapkan dengan pembinaan Masjid Nabawi, di mana ia telah menjadi batu asas kepada destinasi penting dalam kehidupan umat disepanjang sejarah umat Islam.

Masjid adalah rumah Allah dan juga pusat pembentukan masyarakat yang dapat memainkan peranan ke arah meningkatkan syiar Islam.

Masjid tidak hanya terbatas kepada ibadat khusus sahaja, seperti ibadat solat, sebaliknya, konsep dan falsafah masjid yang telah ditunjukkan dan dipraktikkan oleh sirah Rasulullah SAW merangkumi semua aspek kehidupan termasuk perhubungan di antara manusia dengan Allah dan antara manusia sesama manusia.

Solat berjemaah dimasjid dituntut kerana ganjaran terlalu besar sehingga Rasulullah s.a.w tidak memberi kelonggaran walaupun kepada orang yang buta. Malah Rasulullah s.a.w pernah dalam ucapannya dengan memberi ancaman untuk membakar rumah orang yang tidak pergi berjemaah ke masjid. Solat berjemaah di masjid akan menghasilkan natijah yang berguna untuk diri dan ummah. Antaranya:

1- Membina displin yang tinggi

Penghayatan solat berjemaah pasti mendorong ke arah keadaan dimana setiap hari lima kali orang-orang Islam terutama golongan lelaki berbaris dalam satu saf yang rapi. Keadaan ini sudah pasti melahirkan disiplin yang tinggi, seperti pengurusan masa, pembersihan anggota badan dan pakaian, latihan berhimpun dan berbaris dengan rapi dan teliti.

2- Membina semangat persaudaraan dan kerjasama

Solat berjemaah merupakan wadah perancangan aktiviti sosial, termasuk merancang program gotong-royong, menziarahi anggota jemaah yang sakit, meninggal dunia atau mengalami masalah, tolong-menolong diantara satu dengan yang lain. Keadaan ini sudah pasti mendorong ke arah perpaduan ummah dan jihad yang lebih menepati Ajaran Islam.

Ibadat solat yang melibatkan institusi masjid adalah merupakan program dan wadah yang mengukuhkan lagi pembinaan sahsiah diri dan keluarga yang sekaligus menyatu dan memantapkan perpaduan serta perjuangan umat Islam. Dari sinilah bermulanya titik-tolak pergerakan mereka yang menginginkan kesejahteraan hidup didunia dan diakhirat.

Institusi masjid bukan sekadar medan pengajian ilmu keagamaan semata-mata tetapi diperluaskan skop dan fungsi sebagai pusat perkembangan minda, pusat sosial masyarakat setempat, kegiatan ekonomi, kaunseling, data maklumat penduduk dan pelbagai fungsi lain. Masjid juga seharusnya mempunyai barisan sukarelawan muda yang terdiri dari remaja dan belia yang bertindak sebagai golongan pelapis.

Masjid bukan sahaja indah dari sudut binaannya tetapi juga bersinar dengan pelbagai aktiviti untuk mengukuhkan perpaduan, meningkatkan ilmu pengetahuan, meluaskan semangat persaudaraan dan ikatan kasih sayang sesama Islam.

Oleh itu marilah kita sama-sama meningkatkan pengimarahan masjid kita supaya bertepatan dengan fungsinya yang sebenar dan diredhai Allah s.w.t.

Hj Yasim Mohamed
Nazir
Masjid As-Salam Puchong Perdana
24.7.2010

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories