Rabu, Mei 19, 2010

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Pepatah melayu mengatakan “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua”. Itulah ungkapan yang saya rasa sesuai digunakan untuk individu yang selama ini melakukan kegiatan mencuri di Masjid As-Salam.

Boleh dikatakan kes kecurian yang berlaku terlalu kerap hingga menyebabkan ahli jawatankuasa(AJK) masjid adakalanya rasa tertekan dengan aduan-aduan yang diterima dari para jemaah, kebanyakan terdiri samada dari masyarakat setempat atau pengunjung yang selalunya datang singgah untuk menunaikan solat.
Antara kes kecurian yang dilaporkan adalah kehilangan motorsikal, telefon bimbit, dompet, beg tangan wanita, pecah kereta, cubaan melarikan tabung masjid dan lain-lain lagi.

Dan kes terbaru membabitkan barang-barang Biro Ekonomi masjid yang terletak didalam stor turut menjadi mangsa pihak individu ini, dianggarkan Rm 4500.00 kerugian terpaksa ditanggung oleh Biro Ekonomi.

Kehilangan barang tersebut mula disedari oleh En Radhi (ajk biro ekonomi) selepas solat jumaat 30/4 lalu, dimana beliau ingin memeriksa stok barang yang tinggal, kemudian saya bersama En Husin (ajk biro ekonomi) telah dimaklumkan oleh En Radhi akan kehilangan barang-barang tersebut. Dan apa yang menjadi tanda tanya kami, “bagaimana si pencuri ini boleh pecah masuk tanpa meninggalkan kesan”?

Pintu dan solex pada grill kelihatan baik seperti tidak diumpil. Kemudian saya bersama beberapa orang ajk masuk ke dalam stor untuk melihat keadaan sekeliling mana tahu kalau-kalau terjumpa jejak atau kesan si pencuri, selepas 10 minit mencari akhirnya salah seorang dari kami iaitu Hj Suhaimi mendapati ada sebuah tingkap yang menghubungkan antara stor dengan bilik AHU, untuk makluman stor ini baru siap dibina pada pertengahan bulan april, dan mula digunakan oleh Biro Ekonomi pada hujung bulan april.

Maka selok belok keadaan di dalam stor masih belum diketahui sepenuhnya. Kami sepakat agar perkara ini tidak boleh dibiarkan lagi, bermula jam 1000 malam saya bersama En Husin Hasran, En Radhi dan Hj Azmi memulakan langkah pertama siasatan sendiri, boleh dikatakan ramai juga pada asalnya yang menjadi subjek suspek (orang yang disyakki) kami.

Diringi doa serta dipermudahkan jalan oleh Allah, akhirnya kami menemui satu pentunjuk yang boleh dikatakan 80% ianya adalah pencuri sebenar yang selama ini mungkin salah seorang yang menjalankan kegiatan mencuri di Masjid.

Puncanya apabila kami berkunjung ke rumah Hj Hamdan (siak Masjid), beliau menyatakan sering melihat kelibat seorang lelaki berpakai seolah-olah anggota jamaah tabligh yang kononnya berada di Masjid kerana musafir.

Kata Hj Hamdan lagi, beliau juga selalu nampak si suspek ini masuk ke dalam bilik AHU tersebut. Dakwaan tersebut dikuatkan lagi apabila pada jam 0100 pagi kami pergi pula menemui Jaga Masjid, di perkarangan Masjid As-Salam iaitu En Zamri, kebetulan ketua Biro Nahi Mungkar En Masri pun ada sama yang datang melawat anak-anak buahnya yang sedang “stand-by” kalau-kalau ada kes maksiat yang dilaporkan.

Kami dimaklumkan oleh En Zamri, pada 29/4 jam 0200 pagi, beliau ternampak kelibat si suspek berkeliaran di dalam perkarangan masjid, bila ditanya jawapannya ialah “saya hendak tumpang tidur kerana sedang musafir”.

Apa yang peliknya, si suspek ini sering memilih Masjid As-Salam sebagai transitnya untuk bermusafir. Dalam kami sibuk mendapatkan maklumat dari En Zamri, En Masri juga turut mencelah, katanya si suspek ini memang cukup dikenali oleh sesetengah jemaah di Puchong dengan sifat-sifat negatif yang tak sedap didengar.

Dan pernah juga salah seorang jemaah di Masjid memberitahu kepada En Husin supaya pihak Masjid perlu berhati-hati dengan si suspek ini, kerana beliau pernah mencuri barang-barang kerja binaan salah seorang majikannya dulu.

Perkara yang sama turut diluahkan oleh En Masri. Akhirnya En Masri menasihati kami segera membuat laporan polis dibalai polis Bukit Puchong. Dalam masa yang sama anggota Nahi Mungkar dan juga anggota keselamatan JKP Zon 13 yang berada di Masjid malam itu pula diarahkan oleh En Masri supaya membuat rondaan kalau-kalau ternampak kelibat si suspek di sekitar kawasan Puchong.

Kami ke Balai Polis membuat laporan pada jam 0215 pagi. Dan En Radhi yang menjadi pelapor disoal siasat hingga jam 0300 pagi. Dan Pegawai Penyiasat bersama 2 anggotanya turun melawat stor tempat kejadian.

Nasihat Pegawai tersebut agar kami dapat memberi kerjasama pada pihak Polis dengan memaklumkan segera jika ternampak si suspek. Kami pulang ke rumah masing-masing pada jam 0400 pagi.

Keesokan harinya , dengan pertolongan Allah, pada jam 0230 petang, saya dipanggil oleh En Shah di rumah(salah seorang sukarelawan Masjid) beliau ternampak kelibat si suspek berkeliaran di sekitar bawah Masjid, kemudian saya bersama beberapa orang yang kebetulan berada di Masjid ketika itu cuba memerhatikan gerak geri si suspek dari jauh.

Saya di minta oleh Wak Shamsul (pekerja am Masjid) agar cuba menyorok di dalam stor menyimpan barang-barang pekerja am Masjid di mana ianya boleh melihat ke arah bilik AHU dari jauh. 15 minit kemudian kelihatan si suspek keluar dari bilik AHU bersama beg di tangannya.

Hati saya terdetik mengatakan “sah dia dah curi lagi barang dalam stor Biro Ekonomi ni!”. Tanpa membuang masa saya keluar dan terus memanggil beberapa orang rakan tadi supaya perhatikan si suspek kalau-kalau dia cuba hendak balik sementara menunggu pihak Polis sampai.

Sepuluh minit kemudian 2 orang anggota Polis pun tiba dan saya dikehendaki mengiringi polis untuk berjumpa si suspek. Si suspek yang pada awalnya tidak menjangka ketibaan 2 anggota Polis itu hendak menahannya, bila ditanya oleh anggota Polis tersebut, “ En dari mana? saya dari Masjid Sri Petaling, sambil mengaku beliau adalah anggota jemaah tabligh”.

Kami semua tidak percaya, kata salah seorang anggota Polis tadi, “Encik, kami terpaksa tahan kerana atas kesalahan mencuri di dalam bangunan” dan ada laporan ke atas Encik”.

Saya terus bertanya pada si suspek, “ mana beg hijau yang kau bawa keluar dari bilik AHU tadi”? tanpa membuang masa si suspek terus membawa kami ketempat beliau menyorokkannya.

Alangkah terperanjatnya kami apabila dibuka beg tersebut, kelihatan penuh barang-barang Biro Ekonomi di dalamnya. Dan ini adalah kali ke berapa dia dah curi pun kami tak tahu, sebabnya si suspek seprti tidak takut datang untuk mencuri lagi.

Mungkin selama ini kegiatannya kami pihak Masjid As-Salam banyak berdiam diri. Tapi seperti pepatah melayu ada mengatakan “ sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua”.

Sehigga kini saya dimaklumkan oleh rakan beliau yang juga turut tertipu dengan penyamaran si suspek sebagai anggota jemaah tabligh, telah memberi si suspek meminjam motorsikal beliau ketika si suspek hendak pergi ke Puchong untuk mengambil stok susu kambing “Hi-Goat” yang dijual dengan harga yang begitu murah.

Rupa-rupanya si suspek ini mencuri susu tersebut dari Masjid As-Salam. Beliau juga memaklumkan menghadapi kesukaran apabila hendak menuntut semula motorsikal kepunyaannya di balai Polis kerana motorsikal itu digunakan bagi tujuan mencuri.

Apa yang kami kesalkan, si suspek ini seperti tidak takut dengan hukum Allah kerana berani mencuri di dalam kawasan Masjid, dan sanggup menyamar sebagai seolah-olah anggota jemaah tabligh supaya kegiatannya tidak dapat dikesan.

Ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik golongan tabligh. Dan kita semua ketahui bahawa golongan tabligh ini banyak melakukan amalan mulia yang mungkin sukar hendak dilakukan oleh sesetengah individu yang lain dalam menyebarkan syiar islam ke serata dunia.

Dengan tegas saya mengatakan bahawa si suspek ini bukanlah ahli tabligh yang sebenar, beliau hanya menyamar untuk mengambil kesempatan, dan mungkin si suspek ini bergerak secara bersendirian. Tidak seperti mana ahli-ahli tabligh yang lain bergerak secara berkumpulan.

AFIZAN.

MELAPORKAN KES KECURIAN UNTUK BIRO EKONOMI MASJID AS-SALAM

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories