Jumaat, Februari 26, 2010

Aktiviti Pertubuhan Seni Silat Gayong Masjid As-Salam

Gelanggang Silat Seni Gayong di bawa pentadbiran Kelab Silat Seni Gayong Subang Jaya (No. Pendaftaran: PJS 2505/07) (boleh dirujuk sebagai "KSSG") telah dimulakan pada tahun 2007 yang mana ia bermula daripada pemindahan gelanggang asalnya daripada Dewan Masyarakat Puchong Indah disebabkan penggunaan dan penyewaan yang kerap mengganggu perjalanan latihan di sana.

Maka atas jemputan Jawatankuasa Masjid As Salam pada masa tersebut, satu gelanggang telah ditubuhkan di Masjid As Salam pada 2007.
Semenjak 2007, latihan di Masjid As Salam dibuat setiap rabu selepas Isyak. Keahlian adalah amat membanggakan dan gelanggang teramai di sekitar Puchong. Atas sambutan dan minat remaja menyertai program sebegini, pelbagai aktiviti telah dijalankan semenjak 2007 sehingga kini yang melibatkan pihak Anak Gayong Masjid As Salam.

Keaktifan Gelanggang Silat Seni Gayong Masjid As Salam juga mendapat perhatian pihak media seperti NTV7 dan juga TV3 dan pernah dijemput untuk mengadakan demo dan terlibat dalam program televisyen. Selain itu Anak Gayong Masjid As Salam sering mendapat tempahan untuk demo silat bagi pelbagai majlis keramaian dan perkahwinan di seluruh negeri Selangor ini.

Kelab Silat Seni Gayong Subang Jaya adalah di antara kelab Gayong yang paling aktif mengembangkan dan menubuhkan gelanggang Seni Gayong di seluruh Malaysia terutama negeri Selangor dan dikatakan kelab silat paling aktif di Malaysia. Sehubungan dengan itu, Anak Gayong Masjid As Salam sering menjadi tumpuan sekiranya ada pembukaan gelanggang baru atau program yang melibatkan demontrasi silat di sekitar Putrajaya, Puchong dan Shah Alam.

Selaras dengan matlamat penubuhan KSSG iaitu membaikpulih akademik, disiplin dan ekonomi melalui Silat Seni Gayong, penumpuan kepada akademik pelatih juga ditekankan yang mana KSSG meneruskan usaha dalam melahirkan pesilat yang mempunyai akademik yang cemerlang dan setiap tahun pesilat-pesilat Masjid As Salam yang cemerlang akan diberikan imbuhan dan hadiah khas oleh pihak KSSG di atas kecemerlangan akademik tersebut. Disiplin para pesilat juga ditahap amat membanggakan di kalangan ahli silat Masjid As Salam.

Manakala pembaikpulih ekonomi dan perkongsian ilmu hanya ditumpukan kepada pelatih dewasa.

Bagi menjayakan lagi matlamat KSSG, pada tahun 2009 pihak KSSG telah menyelitkan hafalan dan pembacaan surah lazim Al Quran dalam sistem permarkahan (grading) yang dijalankan oleh pihak kami dengan harapan asuhan kepada pesilat bukan hanya ditumpukan kepada latihan fizikal semata-mata.

Alhamdullilah, dengan promosi serta kerjasama penuh yang diberikan oleh pihak pentadbiran Masjid As Salam gelanggang silat Masjid As Salam kini mempunyai keahlian seramai 47 orang pada tahun 2010. Pihak kami berharap dengan penganjuran aktiviti sebegini bukan sahaja dapat mendekatkan remaja dan ahli keluarga kepada Masjid As Salam tetapi juga membantu dalam pengurangan aktiviti kurang sihat di kalangan anak muda orang Islam pada masa kini.

Kepada yang berminat untuk menyertai Gelanggang Silat Seni Gayong Masjid As Salam, bolehlah menghubungi Cikgu Shams (014-9307961) atau datang terus pada hari latihan Rabu malam.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories